Related Posts with Thumbnails

Monday, February 14, 2005

Kutipkan dari email ku...

Perbezaan pengiraan takwim Islam, Kristian
Oleh Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh


Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan,
berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada
kedudukan dan pergerakan matahari.. Masyarakat Islam kita hari ini,
terutamanya generasi muda sering terikut-ikut budaya Barat ketika
menyambut tahun baru. Mereka sepatutnya lebih mengutamakan sambutan 1
Muharram


Perkembangan takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan
sains. Dalam hal ini, ada dua cara pengiraan takwim, iaitu dengan
menggunakan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau
lunar).

Berkenaan penetapan takwim, Allah berfirman yang membawa maksud:
"Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang)
dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap
satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya
(masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan
kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan
adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya
(tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu
mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya." (Surah Yunus, ayat 5)

Secara umumnya, orang Rom mempopularkan penggunaan takwim solar dan
pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa
bandar Rom diasaskan.

Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe
condita (auc) yang bermaksud "dari tarikh pengasasan bandar". Andai
kata tarikh ini masih dipakai hari ini, kita sekarang berada pada
tahun 2757 auc.

Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masihi,
beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian
(bersempena dengan namanya) pada tahun 709 auc atau tahun 46 sebelum
Masihi.

Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta
seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada
takwim yang sedia ada pada ketika itu.

Takwim baru ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari
sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun.

Namun begitu, sejarah merekodkan bahawa kesilapan berlaku dalam
pengiraan takwim Julian ini apabila tambahan satu hari pada setiap
empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada
setiap tiga tahun.

Ini berlaku antara tahun 43 sebelum Masihi sehingga tahun 10 sebelum Masihi.

Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah
Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan
dan hanya disambung pada tahun empat selepas Masihi.

Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari
dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29
hari dan 30 hari bagi tahun lompat.

Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada
bulan dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan
Ogos (sempena Augustus Caesar).

Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar
menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius
Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah
satu hari. Ini menjadikan jumlah hari dalam bulan Ogos sebanyak 31
sama seperti bulan Julai.

Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim
Julian yang kemudian turut diterima pakai gereja Kristian.

Pada tahun 527 Masihi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus
memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini
atau AD (yang memulakan tarikh 1 AD sempena kelahiran Isa al-Masih).
Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau
Masihi.

Menariknya, berlaku kekeliruan dengan tarikh lahirnya Nabi Isa
apabila Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun
754 auc tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus tidak
tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun.

Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25
hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun, ini jauh berbeza
dengan panjang sebenar bagi setahun.

Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar
tempoh satu tahun dipertikaikan.

Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422
hari dalam setahun manakala satu lagi pendapat mengatakan bahawa
panjang purata setahun ialah 365.2424 hari.

Beza nilai ini ialah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat)
dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat).

Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak
menyebabkan ia tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan
ekuinoks yang merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi dan ini
menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran
Kristian.

Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku
semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas.

Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli
astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian
kepada keadaan gawat itu dan kajian dilakukan sehinggalah Gregory
XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik.

Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan
Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa
perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai "Takwim
Gregorian".

Perubahan yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

l Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika
itu menjadikan hari yang menyusul selepas Khamis, 4 Oktober 1582
sebagai Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober 1582 jika menurut kiraan
Julian).

l Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun itu mestilah boleh
dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui
takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada
boleh dibahagi dengan 400.

Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 ialah tahun
lompat melainkan jika boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400.

Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi
tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100.

l Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun.

l Hari bagi tahun lompat ditetapkan pada 29 Februari.

Penggunaan takwim berkenaantersebar serta-merta ke negara Roman
Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan
Luxembourg dan secara berperingkat digunakan di negara seperti
Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary.

Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan
perubahan pada tarikh dilakukan pada Khamis 14 September 1752 (tarikh
ini ditukarkan daripada 2 September 1752).

Koloni British di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu, turut
melakukan perubahan itu.

Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh
bagi satu hari yang sama antara abad ke-16 dan ke-18, bergantung
kepada takwim mana yang digunakan.

Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan
dengan "OS" yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim
Gregorian ditandakan dengan "NS" atau new style.

Negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini
secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur
(antara 1912 dan 1919), Russia 1918) dan Turki (1927).

Ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian
ialah ringkasan kepada "Anni Domini Nostri Jesu Christi" yang
bermaksud "dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ."

Takwim ini mempunyai konotasi kepada agama Kristain, oleh sebab itu
mungkin menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan penganut Islam
dan Yahudi khususnya, maka ringkasan AD diganti dengan CE iaitu
"Christian Era" manakala BC ("Before Christ") diganti dengan BCE
(untuk Before Christian Era).

Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu
umumnya, ringkasan SM (sebelum Masihi) dan TM (tahun Masihi) lebih
kerap digunakan.

Bagi penganut Kristian, sambutan tahun baru mempunyai konotasi
keagamaan kerana tahun baru menandakan ulang tahun kelahiran al-Masih
namun, kepada orang lain sambutan itu mempunyai konotasi yang berbeza.

Perubahan angka pada tahun hanya berlaku sekali setahun dan semua ini
mempunyai kaitan dengan keadaan manusia itu sendiri.

Jika dilihat kepada sejarah, 2004 misalnya menyaksikan banyak
pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku di Iraq, Sudan, Russia,
Thailand dan beberapa negara lain.

Bermulanya 2005 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan
kehidupan yang lebih baik tetapi yang menjadi persoalan sekarang,
adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan
pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun
baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah
yang lebih baik.

Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas syariat
Islam yang dilarang dan ditegah.

Menurut pandangan Islam, peredaran masa ialah satu proses alam yang
ditetapkan Allah bagi dunia ini.

Malah di dalam al-Quran banyak ayat yang diturunkan menegaskan
pentingnya masa dalam kehidupan manusia.

Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam
setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada
kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru
berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada
agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab
menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun
bermulanya pengiraan takwim Islam.

Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan
berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada
kedudukan dan pergerakan matahari.

Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari
kebesarannya banyak membabitkan kedudukan matahari dan pergerakan
musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.

Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru
tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak
agama Islam.

Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke
satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah
seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya
keruntuhan moral dan akhlak.

Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam
begitu beria meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti
tidak mempedulikan 1 Muharam?

Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu
dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun
hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata?


a.. Penulis adalah Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi di Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).