Related Posts with Thumbnails

Tuesday, August 18, 2009

Puasa Simiskin. Kita Bagaimana?

Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya
berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu
ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri
mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang
kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak? "

"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"

"Bapak pergi kerja..."

"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang
bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.

"Awak ada berapa orang adik-beradik? "

"Sepuluh."

"Adik ni yang ke berapa?"

"Saya yang kelapan."

"Mana abang-abang kamu pergi?"

"Tolong emak menoreh."

"Adik puasa hari ini?"

"Sama je makcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."
Jawabnya.

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.

Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"

"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".

"Bapak kerja apa?"

"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain
kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang
hantar.

Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di
simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu
kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan
sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu.

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat
kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam
ni..!".

Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia
memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka
berpeluang makan daging lembu sekali lagi.

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku
datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari
itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka.

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar:

Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah
seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah makcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu
boleh tahan sampai satu minggu?

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,
dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang
yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan
merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia
lakukan setiap hari.

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun
dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."

Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"

"Cuma RM3.00 sehari."

"Ayahnya bekerja macam mana"

"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan
mewah..

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula
sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta
daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"?

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa
kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari
kita.


.........................................

Forwarded email from : Abu Hanifah

Thursday, August 06, 2009

MARAH KERANA CINTA, BUKAN KERANA BENCI…

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi
Saya masih ingat sikap `unik' (aneh) sesetengah orang-orang tua kampung dulu-dulu. Ruang di bawah rumah mereka selalunya diperuntukkan untuk meletakkan barang usang yang `kurang' atau tidak perlu. Selalunya botol-botol, tin-tin atau papan-papan buruk. Entah kenapa semua itu tidak dibuang. Hanya di letakkan begitu sahaja. Diguna tidak, dibuang pun tidak. Peliknya, apabila barang-barang `antik' itu hendak diambil oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka melarangnya. Tak boleh – nak guna, sayang, dan macam-macam alasan.
Itulah sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila saya ditanya tentang kemarahan umat Islam terhadap penyiaran karikatur menghina nabi Muhammad s.a.w oleh akhbar-akhbar Eropah khususnya Denmark.
"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa sehabis sahaja majlis diskusi tentang topik berkenaan.
"Marah," akui saya perlahan.
"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar bendera Denmark!"
Saya senyum.
"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang lebih hebat. Doa," balas saya.
"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang menghina Rasul."
"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama."
"Marah itulah tanda kecintaan kita…"
"Betul. Tetapi membuktikan kecintaan dengan mengamalkan sunnahnya jauh lebih utama."
"Encik takut?"
Saya renung matanya.
"Mengamalkan sunnah Rasul memerlukan lebih keberanian… Tentangannya lebih hebat. Bahkan daripada orang Islam sendiri," tusuk saya perlahan.
"Kita bakar bendera mereka!"
"Kita `bakar' cara hidup mereka. Itu lebih relevan."
Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang `terbakar' ini mula mengunyah maksud kiasan saya.
Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah, dia mendengar teliti.
"Kita dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu dengan barang-barang usang di bawah rumah. Nak digunakan tidak, nak dijunjung jauh sekali, tetapi bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh konon nak digunakan."
"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan marah?"
"Demontrasi depan manusia. Depan Allah, kita berdoa. Kita muhasabah, sejauh mana kecintaan kita kepada Rasul-Nya. Mungkin provokasi Barat membawa pengajaran tersirat."
"Pengajaran tersirat?"
"Ya, tersirat dari Allah… agar kita menilai semula benar-benarkah kita mencintai sunnah Rasul-Nya selama ini."
"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya bersemangat.
"Kemarahan cuma bermusim. Hanya luapan sentimen berkala. Namun kegigihan, kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka panjang amat perlu."
"Maksud encik?"
Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan kata-kata.
"Jangka panjang, sudahkah kita mendidik generasi muda mencintai Rasul dan keluarganya? Saya risau generasi muda yang mabuk hedonisme kini tidak akan punya kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."
"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang pukang, tapi masih marah bila Rasulullullah dipersendakan. Mereka akan turut berarak esok!"
"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya saya minta kepastian.
"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas biasalah… tapi cinta mereka terhadap Rasul tak luntur."
"Ajak mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak apa. Cinta dulu, marah kemudian. Bila ada cinta, pasti ada marah bila kecintaan dicela. Tapi kalau marah saja, belum tentu ada cinta… "
Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.
"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil barang-barang berharga di atas rumah?" tanyanya tiba-tiba.
"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.
"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"
"Soalan tu kurang umph," gurau saya.
"Habis soalan apa yang umph?"
"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di atas rumah? Berbanding barang usang di bawah rumah?" balas saya.
Termenung lagi dia. Seronok rasanya `membimbing' siswa ini berfikir. Terimbau luapan semangat saya sewaktu di kampus dulu. Beginilah pola berfikir saya. .
Tiba-tiba dia bersuara, "tentu tak berani, kerana barang di atas rumah tentu lebih berharga."
"Begitulah sunnah, jika dihayati, diamalkan dan diperjuangkan. Ia nampak sangat berharga di tangan pencintanya. Musuh tak kan berani mengusiknya, apalagi nak menghinanya…"
"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."
"Kita orang Islam mesti menghormati diri sendiri terlebih dahulu, barulah orang lain akan menghargai kita. Justeru, jika kita marahkan musuh yang mengecam Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak benar-benar mencintainya!"
"Dan… bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara paling berkesan mempamerkan `kemarahan' kepada musuh-musuh yang menghinanya."
Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta bukan kerana benci. Dominasi cintakan Rasul bukan emosi bencikan musuhnya!

dermawan2u